12 October 2019



  CINTA BARAKAH 
DARI TUHAN 

“Sya, kau nak ikut aku tak?”

“Nak pergi mana?”

“Jumaat ni ada Daurah Ahlan Ramadhan dekat rumah aunty Ain” Jawab Laila sambil menyarungkan tudung bawal di kepalanya.

“Siapa lagi yang pergi ke sana?”

“Kalau tak silap aku, student dari UIA, USIM dan UPM. Selebihnya aku tak pasti”.

“Hmmm…Laila, esok aku bagi tau kau semula boleh? Aku confirm kan dengan naqibah aku dulu samada jumaat ni ada apa-apa aktiviti atau tidak”.

“Ok, nanti kau mesej aku tau Sya. Aku dah kena gerak dah ni. Tak pasal-pasal jadi model tak berbayar Dr.Amin pula. Silap hari bulan muka aku terpampang dalam majalah kolej.” Sempat lagi kawan aku ni membebel. Takut kena denda lah tu. Qisya tawa kecil melihat gelagat sahabatnya.

……….

“Am, tolong mama alihkan meja dan kerusi ke tepi sana. Mama nak ke atas solat zohor sekejap. Mama belum solat lagi. Ha, satu lagi jangan lupa set up khemah petang nanti. Terima kasih tolong mama.” Puan Ain meminta bantuan anaknya yang sedang sibuk mengemas di ruang tamu. Kalau mengharapkan dirinya seorang, memang tidak menang tanganlah gamaknya.

“Baik ma, Am siapkan kemas ni dulu ya.” Jawab Amsyar sambil kedua tangannya memikul pasu berharga milik mamanya.

……….

”Tahukah kamu bahawa Rasulullah S.A.W apabila tibanya Ramadhan, sedekahnya lebih laju daripada angin yang bertiup. Daripada Ibnu Abbas  R.A katanya: “Rasulullah S.A.W adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap Ramadhan, dibawanya belajar Al- Quran. Maka Rasulullah S.A.W lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)

“Jadi, sudah siap sediakah kamu semua untuk menghadapi Ramadhan tahun ini? Marilah kita sama-sama renungkan bersama. Tepuk dada, tanya iman . InsyaAllah sebelum  saya akhiri majlis pada malam ini, ada apa-apa soalan yang ingin dikemukakan?” soal Prof.Abdul Latif sambil tersenyum.

“Minta maaf prof, boleh saya tanya satu soalan?”, celah salah seorang mahasiwa berbaju merah.

“Silakan, hendak menanyakan banyak soalan pun boleh.” Balas Encik Abdul Latif dengan senyuman manisnya.

“Bagaimana hendak mengekalkan stamina sehingga penghujung Ramadhan? Lebih-lebih lagi mahasiswa-mahasiswi seperti kami. Cepat penat dan mungkin rasa hendak tidur sahaja. Kadang-kadang, benda sunat pun tidak dilakukan. Hanya buat benda wajib sahaja.”

“Ok, terima kasih atas persoalan yang sangat bagus untuk dikongsikan bersama. Sebelum itu, saya hendak menanyakan soalan pada anda semua. Perlukah kita semua ada stamina pada bulan Ramadhan?”

Para siswa saling membalas pandangan. Encik Abdul latif yang melihat gelagat setiap pelajar-pelajar di hadapannya seperti malu-malu kucing, di ambilnya microphone. Lalu, memulakan bicara.

“Ok baiklah, Semestinya penting bukan? Bukan setakat Sukan Olimpik sahaja perlukan stamina yang tinggi. Malah, di bulan Ramadhan juga kita perlukannya. Pertama sekali, kita semua harus periksa semula niat dan hadaf kita berpuasa. Adakah puasa kita hanya menahan lapar dan dahaga? Atau sebaliknya.

Kedua, untuk menjaga amalan, kita sebaiknya berada di dalam bi’ah yang soleh dan solehah yakni bi’ah yang baik. Bagaimana mungkin kita hendak membaca al-Quran sedangkan ada kawan-kawan kita yang sedang berkaraoke, main game, berborak sakan dan seumpama dengannya. Dapatkah kita menghayati pada setiap bait-bait kalam suci Allah Azza WaJalla? Ada baiknya kita usaha mencari tempat yang tenang agar dapat memberi sepenuh tumpuan pada bacaan kita. Sekaligus, kita dapat tadabbur setiap ayat yang dibaca. Menarik bukan? Jika kita dapat fahami setiap kalam-Nya, sungguh saya pasti dan yakin anda semua akan berasa tenang serta beroleh manfaat daripada ayat-ayat suci al-quran.

“(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” [Ar-Ra’d:28]

Dan dalam sebuah hadits, Rasulullah S.A.W bersabda, "Barangsiapa membaca satu huruf dari kitabullah, baginya satu kebaikan. Satu kebaikan akan dilipatgandakan sepuluh. Aku tidak mengatakan 'alif laam miim' itu satu huruf, akan tetapi. Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf." (HR.Tirmidzi no.2915. Dinilai sahih oleh Al-Albani).

Seterusnya, kita mesti pastikan minda kita bebas daripada anasir-anasir negatif yang boleh membuatkan kita jauh tenggelam dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jangan kerana letih, kita ikutkan sahaja kata badan. Tidur sehingga berbuka puasa? Solat pun terlepas? Kita harus ingat, bulan puasa bukan masa untuk beristirehat tetapi bulan puasa adalah pesta ibadah yang harus kita raikan dan hayatinya.

Akhir kata daripada saya, saya yakin anda semua ada cara-cara yang tersendiri untuk menjaga stamina masing-masing. Anda boleh praktikkan dan kongsikan pada rakan-rakan anda. InsyaAllah, sama-samalah kita usaha sehabis baik buat Ramadhan tahun ini. Mungkin sahaja Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita semua. Dan sama-samalah kita mengharapkan daripada Allah S.W.T pengakhiran yang husnul khatimah.

Saya akhiri majlis pada malam ini dengan sabda Rasulullah S.A.W yang membawa maksud: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat pintu ar-Rayyan yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa. Di tanya (oleh pintu tersebut): Di manakah orang-orang yang berpuasa? Maka mereka pun masuk dari pintu tersebut. Setelah semua orang yang berpuasa memasukinya, pintu itu pun ditutup dan tidak ada lagi yang masuk melaluinya” (HR Muslim). Wallahu’alam. Segala yang baik itu datang daripada Allah S.W.T dan semoga yang buruk itu diampuni oleh Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim. ” Prof.Abdul Latif mengakhiri majlis itu dengan salam. 

……….

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Qur’an) ini pada qadar (Malam qadar mempunyai beberapa erti, di antaranya malam kemuliaan, kerana pada malam itu permulaan diturunkannya Al-Qur’an dari Lauh Mahfuz kepada Nabi Muhammad SAW). Dan tahukah kamu apa malam kemulian itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.” [al-Qadr:1-5]

Amsyar menghembus nafas lembut. Tertunduk dia membaca surah yang terakhir.
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah aku ini.”

Entah dapatkah dia bertemu dengan malam itu? Berpeluangkah dia untuk merasainya?
“Eh, Am tak kerja ke hari ini?” Tegur Puan Ain sambil menguak pintu bilik anaknya yang tidak berkunci.

“Am start kerja lambat hari ini ma.” Jawabnya ringkas.

“owh ok.” Angguk Puan Ain mengerti.

“Mama, Am nak ke pekan sekejap. Selepas tu, Am akan masuk ke office terus InsyaAllah. Hari ini, mama tak perlu masak untuk berbuka puasa ya. Am beli makanan di bazar sahaja nanti.” Amsyar meletakkan al-Quran yang di bacanya di sudut sebelah katilnya. Lantas mencapai kunci kereta Suzuki dalam poket seluar yang tergantung di belakang pintu biliknya.

“Ok Am. Hati-hati ya. Jangan lupa baca Bismillah sebelum naik kereta. Terima kasih banyak mudahkan kerja mama.” Puan Ain tersenyum. Lega hatinya. Tidak perlu dia susah-susah memikirkan lauk apa yang hendak di masak. Boleh dia menghabiskan juzuk yang ke-21. Sungguh, dengan membaca al-quran hatinya berasa sangat tenang. Hilang segala kekusutan dan keresahan jiwa.

“Dialah yang menurunkan ketenteraman ke dalam hati orang yang beriman, agar mereka bertambah iman berserta iman mereka yang sedia ada; milik Allah lah tentera langit dan bumi dan Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” [al-Fath:4]

Tiada siapa yang dapat menurunkan sakinah ke dalam hati manusia melainkan Allah Yang Maha Mengasihi lagi Maha Esa.

Ya Allah, thabatkan dan tetapkanlah hati aku pada jalan-Mu. Doa Puan Ain di dalam hati.

Tolong!!

Amsyar menoleh ke belakang. Terasa seperti ada yang memanggilnya. Tidak salah dengarkah dia?

Tolong!!!

Amsyar berlari ke lorong belakang. Dari jauh dia melihat seorang wanita yang terdampar berlumuran darah di kakinya dan seorang lelaki bertatu menarik tudungnya. Manakala seorang lagi memeriksa beg tangan milik wanita itu.

“Hoi! Kau lepaskan budak perempuan tu sekarang sebelum aku panggil polis!” Walhal, dia sudah menelefon pihak polis semasa dia berlari ke tempat kejadian.

Qisya menggigil ketakutan. Darah di lengan dan kakinya membasahi baju kurungnya. Sakit. Pedih kerana diseret oleh dua orang lelaki berbadan sasa. Niatnya ingin pergi ke pekan membeli juadah berbuka puasa. Tiba-tiba diganggu dengan sergahan seorang berkulit gelap dan seorang lagi berkulit sowo matang. Dia tidak dapat berlawan kerana kekuatan dan kudrat wanitanya untuk berlawan telah terkunci dengan badan sasa mereka.

“Hoi! Nampaknya kamu berdua ini cabar aku ya!” Jerit Amsyar kerana mereka tidak mahu melepaskan perempuan itu. Lalu, terus dibukanya cekak harimau sehingga dua orang di hadapannya tumpas dengan izin Allah.

Tidak lama kemudian, kedengaran siren polis dari hujung lorong. Kedua lelaki bertopengkan Iblis tadi tidak dapat melarikan diri  kerana sudah diikat oleh Amsyar di tiang elektrik.

Amsyar segera membuka jaket hitamnya dan membaluti aurat yang terdedah pada wanita di hadapannya. Seakan dia pernah melihat wanita yang tidak sedarkan diri itu. Ligat otaknya berfikir. Akhirnya, akalnya berhubung. Dialah wanita yang hadir di majlis di rumah mamanya tempoh hari. Mana tidak ingatnya, dia yang memegang senarai nama pelajar yang hadir. Setiap kehadiran, dia yang tanda.

Terkumat-kamit Amsyar istighfar. Masih ada rupanya manusia sebegini di bulan Ramadhan. Kasihan dia melihat wanita yang disorongkan ke dalam ambulans itu. Mesti trauma dek apa yang telah berlaku.

……….

“Ya Allah Sya, sedar pun kau. Seharian kau tak sedarkan diri. Risau aku. Kau ok tak ni? Apa dah jadi sebenarnya. Macam mana boleh jadi macam ni?” ucap cemas sahabatnya Laila.

Qisya membuka mata setelah merasakan ada tangan yang sedang memegang dahinya. Kemudian, matanya melilau di sekelilingnya. Seingat dia sedang bergelut dengan dua  orang jejaka berbadan sasa.

“Qisya ok? Ni aunty Ain”.

Qisya melihat ke arah wanita tua yang sedang berbicara dengannya.

Lama dia merauti wajah di hadapannya. Lalu, menganggukkan kepalanya setelah akalnya mengenali wanita yang berada di sampingnya.

“Anak aunty yang jumpa Qisya. Sekarang ini dia ada di balai polis tengah buat laporan. InsyaAllah khair, Qisya jangan risau ye. Anak aunty dah cerita semuanya pada aunty. Alhamdulillah kamu selamat dan kedua-dua orang yang berbuat jahat terhadap kamu sudah dimasukkan ke dalam lokap dengan kesalahan dadah dan kekerasan”. 

Qisya tersenyum tanda terima kasih dan syukur kerna Allah masih memberi peluang pada dirinya untuk beramal di dunia ini. Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. Monolog Qisya sebelum kembali melelapkan matanya semula.

……….

[Pertengahan Ramadhan]

 “Allahuakbar! Mama!”

Amsyar terbangun dari tidurnya. Terkejut kerana ibunya dibaluti kapan putih sedang melihatnya sambil tersenyum. Dia mengelap peluh yang membasahi dahinya. Tanpa dia sedar, ada sebutir air mata jatuh di pipi. Lantas, dia terus bangun meninggalkan biliknya menuju ke bilik mamanya.

Amsyar menguak pelahan pintu bilik mamanya dan melihat mamanya sedang sujud di tikar sejadah. Tidak lama kemudian bangun duduk tahiyyat akhir.

“Huh…” Amsyar mengeluh. Mimpi rupanya. Alhamdulillah.

Puan Ain merasakan seperti ada yang sedang memerhatikan dirinya. Lalu, menoleh ke arah belakang. “Am, kenapa tu, resah saja mama lihat. Ada yang tak kena ke?”

Amsyar mengangkat kepala melihat mamanya.

“Tidak ada apa-apa mama. Am, nak solat sekali dengan mama boleh. Am rindu.” Balas Amsyar lalu terus memeluk erat mamanya.

Puan Ain yang pelik dengan sikap anaknya hanya membalas perlukan anaknya itu.

……….

“Qisya, kau tak rasa pelik ke dengan aunty Ain?”, soal Laila.

“Nak rasa pelik kenapa?”

“Ya lah. Dia banyak tolong kau masa dekat hospital hari tu. Duit bil hospital pun dia yang bayar. Makan minum kau pun dia yang jaga. Jangan-jangan aunty Ain kot yang selama ni bagi kau duit tambahan dalam bank setiap bulan.”

Qisya melirik matanya ke arah sahabatnya. Ada betul juga apa yang dikatakan oleh sahabatnya. Mana mungkin orang luar hendak menolongnya dengan sebegitu rupa. Akalnya ligat berfikir.

……….

“Am, mari ke sini sekejap. Mama hendak cakap sesuatu dengan kamu.” 

Amsyar meletakkan fail kerjanya di atas meja.

“Kenapa ma? Macam serius sahaja bunyinya.”

“Memang serius. Ini soal hidup dan mati seseorang.”

Amsyar merenung dalam mata mamanya. Lantas dia terus teringat akan mimpinya  beberapa hari yang lalu. Mungkinkah ini wasiat yang terakhir dari mamanya.

Puan Ain memberi sekeping gambar seorang gadis pada tangan anaknya.

Amsyar melihat sekali imbas. Lalu, otaknya berkata bahawa gadis inilah yang dia selamatkan. Mata bulatnya merenung mamanya meminta penjelasan.

“Ya, gadis itulah yang kamu selamatkan.” Puan Ain seperti dapat mengagak apa yang akan diperkatakan oleh anaknya.

“Gadis ini adalah adik kamu. Adik susuan.” Terus terang Puan Aini tanpa berdalih kata.

Amsyar terkejut. Kenapa dia tidak pernah tahu bahawa dia ada seorang adik selama ini dan kenapa mamanya perlu rahsiakan daripadanya.

“Mama minta maaf kerana tidak memberitahu kamu sebelum ini. Mama rasa hari ini adalah hari yang tepat untuk beri tahu kamu. Mama tidak ada pilihan selain merahsiakan prihal ini dengan kamu. Mama terpaksa demi kebaikan kamu berdua. Nama adik kamu Qisya. Emak Qisya adalah sahabat baik mama sewaktu di universiti dahulu dan dia serahkan Qisya dekat mama semasa kamu masih dua tahun. Sahabat mama wasiatkan kepada mama supaya menjaga Qisya dengan sebaik mungkin.”

“Tapi kenapa sekarang ma?”

“Mama minta maaf Am. Mama tahu mama salah tapi mama terpaksa. Kalau kamu hendak tahu lelaki yang kacau Qisya itu adalah bapa kandung kepada adik kamu dan seorang lagi pakciknya. Mereka inginkan Qisya. Mereka hendak menjual Qisya ke negara jiran demi mendapatkan apa yang mereka mahu. Jika dia tahu kamu abangnya, mungkin dengan kamu sekali mereka bawa dan mama tidak mahu perkara itu terjadi. Sebab itu, mama pisahkan kamu berdua. Tentang kejadian hari itu, mama tidak tahu bagaimana mereka menjumpai Qisya. Tapi, mama bersyukur Allah selamatkan adik kamu melalui kamu. Mama rasa Allah ingin beri petunjuk kepada mama agar segera beritahu kamu prihal ini sebelum terlambat. Mama harap kamu maafkan mama dan mama titip hak penjagaan Qisya terhadap kamu dan kamu jangan risau, mama sudah maklumkan hal ini kepada Qisya semalam.”

Amsyar terdiam. Terkedu. Terkejut dengan apa yang baru sahaja dia dengari daripada mamanya.

……….

“Sya, kau ok tak ni?” Tanya Laila setelah melihat sahabatnya macam endah tak endah  sahaja apa yang diperkatakan olehnya.

Qisya Diam.

“Nur Qisya!” Jerit Laila ditelinga sahabatnya

“Oh mak kau terkejut masuk dalam baldi!” Latah Qisya.

Berdekah Laila ketawa melihat sahabatnya melatah. Ada ke patut mak aku masuk baldi. Mak kucing agaknya.

“Ish, kau ni Laila. Jangan lah sergah aku macam tu. Kau tahu kan aku macam mana. Tak baik lah.”

“Janganlah kau salahkan aku. Kau yang tak dengar apa yang aku cakap. Berbuih mulut aku dibuatnya.”

Sorry, aku tak dengar.”

“Memang lah kau tak dengar. Kau mengelamun. Kau fikirkan apa Sya? Sampaikan aku panggil pun kau tak dengar.”

“Sorry, aku tengah fikir pasal mama aku?”

“Mama kau?”

“Ya, aunty Ain mama susuan aku.”

“Owh ya, sorry aku lupa aunty Ain tu mama kau. Kenapa dengan aunty Ain?”

“Semalam Amsyar call aku, cakap mama masuk hospital kena heart attack. Aku tak tahu nak buat apa. Aku seganlah nak ke sana. Iya lah, selama ni aku duduk sendiri je. Tiba-tiba ada orang yang mengaku sebagai mama dan abang aku. Kalau kau dekat tempat aku, apa yang kau buat?”

“Hmmm…aku tak tahu nak cakap apa tapi aku sebagai sahabat baik kau, aku rasa kau pergi lah jenguk mama kau. Anggap sahaja ini adalah hadiah Ramadhan dari Allah untuk kau. Allah bagi kau keluarga yang sangat baik. Mungkin kau lah orang yang paling bertuah dalam dunia ini.”

Qisya merenung dalam kata sahabatnya. Siapa lah dia ingin menolak nikmat Tuhan. Apa yang diperkatakan oleh sahabatnya, semuanya benar belaka. Tidak patut bagi dirinya mengeluh. Apatah lagi, merungut dengan apa yang Tuhan berikan pada dirinya.

……….

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un…” . Amsyar menutup mata bapa Qisya. 

Qisya hanya melihat dari birai katil. Entah kenapa air matanya tidak jatuh sama sekali buat bapanya. Mungkin juga kerna apa yang dia sudah lakukan terhadap dirinya.

“It’s ok Qisya. Abang faham. Qisya doakan sahaja banyak-banyak ya. Sungguh, yang hidup itu pasti akan mati jua. Di bulan yang mulia ini, moga Allah mengampuni segala dosa-dosanya dan menempatkan dia dalam kalangan orang-orang yang soleh.”

Qisya yang mendengar hanya memandang kosong. Mungkin juga disebabkan trauma yang masih menghantui dirinya, sukar untuk dia menerima bapanya. Tetapi, jauh di dalam sudut hatinya, dia cuba bersikap berlapang dada dengan memaafkan bapanya.

Puan Ain mendekati Qisya dengan kerusi roda miliknya. Tangan Qisya digenggamnya dengan erat. Apa yang dilalui Qisya amat memukul jiwa raganya. Begitu hebat ujian Ramadhan buat Qisya. Walaupun dia bukan anak kandungnya tetapi susu yang mengalir dalam diri Qisya membuatkan kasih sayang terhadap Qisya melebihi segala yang ada pada dirinya.

……….

[Sepuluh malam terakhir]

“Laila, aku bersyukur sangat. Tak sia-sia kau bagi semangat dekat aku. Sekarang aku rasa happy dengan keluarga aku. Thank you Laila. Kau lah sahabat dunia akhirat aku.” Qisya memeluk sahabatnya seusai sahabatnya habis memberi salam yang terakhir.

Laila yang baru sahaja menghabiskan solatnya, terkejut dengan pelukan sahabatnya dari belakang.

“Eh, kau ni Sya. Kalau iya pun bagi lah aku habis doa dulu.” Usik Laila.

“Hehe..sorry beb. Aku terharu sangat tengok kau.”

“Banyaklah kau punya terharu. Over lah kau ni. Tapi, Alhamdulillah. Aku happy bila tengok kau happy. Lepas ni, boleh lah aku kahwin. Takde lah sahabat aku ni hidup terkontang-kanting. Hahaha..”

“Iya lah, pergilah kahwin. Tinggalkan lah aku sorang-sorang dekat sini.”

Laila mencuit peha sahabatnya. Banyak sungguh drama yang dilakukan.

……….

“Alhamdulillah, khatam sekali lagi.” Amsyar menjunjung Al-Quran yang dipegang dengan kedua tangannya.

“Ya Allah Tuhanku, Engkau rahmatilah kami dengan kemuliaan Al-Quran. Jadikanlah ia sebagai panduan hidup kami dan kurniakanlah kepada kami kelazatan membacanya siang dan malam. Hiasilah diri kami dengan perhiasan Al-Quran, muliakanlah kami dengan Al-Quran, pakaikanlah kami dengan pakaian Al-Quran dan masukkanlah kami Ya Allah ke dalam Syurga-Mu dengan syafaat Al-Quran. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.”

“Aamiin..” Puan Ain mengaminkan doa anaknya. Dari luar dia terdengar sayup-sayup tangisan anaknya. Perlahan-lahan dia memasuki bilik anaknya dengan kerusi roda miliknya.

Sementara Qisya hanya memerhati di balik pintu. Malu ingin bersama dengan abangnya. Mungkin masih berasa janggal.

Amsyar yang mendengar orang menjawab doanya, menoleh ke belakang.

“Mama.”

Menyedari Qisya di balik pintu, Amsyar memanggil agar duduk di sebelah mamanya.

Qisya akur. Akhirnya, di sebelah mamanya juga dia melabuhkan kaki duduk bersimpul.

“Alhamdulillah. Terima kasih anak-anak mama sudi maafkan mama. Mama harap hubungan kita semua kekal hingga ke Syurga.”

Serentak itu Amsyar dan Qisya tersenyum.

“Am, mama ada satu permintaan.”

“Apa dia mama. Cakaplah."

"Am akan tunaikan hajat mama kan?” 

Mata Puan Aini dan Amsyar bertembung seribu makna.

Dengan perlahan Amsyar menganggukkan kepalanya sambil menggenggam erat tangan mamanya.

Qisya hanya memerhati. Apa yang dihajatkan pun dia tidak tahu. Biarlah urusan dua beranak itu sahaja. 

“Alhamdulillah. Satu lagi permintaan boleh?" Sengih Puan Aini menampakkan giginya.

"Boleh ma, cakap sahaja apa yang mama mahukan, insyaAllahh Am akan usahakan."

"Boleh Am imamkan solat tarawih dan solat tahajjud? Mama hendak kita sama-sama solat berjemaah. Moga malam ini, kita dapat merasai sentuhan lailatul Qadr bersama dan apa yang berlaku sepanjang ramadhan ini adalah cinta barakah dari Tuhan yang mahu satukan kita semua." Belai Puan Ain lembut kedua-dua pipi anaknya Amsyar dan Qisya.

“InsyaAllah, boleh mama.” Amsyar mengucup dahi mamanya. Air mata lelakinya jatuh membasahi pipi tua mamanya.

‘Ya Allah, terima kasih kerna Engkau masih meminjamkan mama buat aku. Aku janji akan menjaga amanat-Mu dengan baik.’ Bicara lembut hatinya.

Qisya yang melihat, mengalirkan air mata syahdu. Sungguh, nikmat Tuhan yang manakah dia dustakan.

“Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barang siapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala (dunia) itu, dan barang siapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala (akhirat) itu, dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” [Ali-imran:145]

-TAMAT-










04 October 2019

















Ya Allah! pilihlah kami untuk solat subuh berjemaah.

Kata Hamka

□  Jika Subuhnya senantiasa 
     dipelihara....
     Itu tanda akan Selamat 
     dari neraka.

□  Jika Subuhnya tiada dia 
     tinggal.....
     Allah melindunginya dari 
     segala arah.

□  Jika Subuhnya didahului 
     dengan Sunat....
     Pasti seluruh dunia beserta 
     isinya, dia dapat.

□  Jika Subuhnya bergelap-gelap 
     menuju Musholla.....
     Di kegelapan akhirat ia 
     dapatkan cahaya.

□  Jika Subuh hingga awal Dhuha 
     (Isyroq) berwirid pula......
     Mendapat pahala 
     Umrah dan Haji sempurna.

Namun . . .
















□  Jika Subuhnya tiada dijaga. 
     Maka pada wajahnya tiada 
     cahaya.

□  Jika Subuhnya sengaja 
     terlupa.....
     Tanda Imannya tiada 
     bernyawa....

□  Jika Subuhnya terasa 
     berat..... 
     Tanda munafiq sudah 
     mendekat....

□  Jika Subuh tiada peduli....
     Tanda Iman menghampiri 
     mati....

□  Jika Subuhnya tiada 
     berjama’ah....
     Tanda hidupnya akan hilang 
     barokah.

□  Jika Subuhnya tiada 
     ke Masjid.....
     Tanda imannya ada penyakit.

□  Jika Subuhnya selalu 
     terlewat.... 
     Tanda imannya semakin 
     cacat....

□  Jika Subuhnya diakhir 
     waktu..... 
     Tanda iman semakin 
     kelabu....

□  Jika Subuhnya hari sudah 
     siang..... 
     Tanda rezekinya sudah hilang...

□  Jika di waktu subuh masih 
     mendengkur.....
     Tanda syaitan memeluknya 
     dalam tidur.

 - والله اعلم -

24 October 2017

'JE VOUS AIME' MR.HUSBAND

[02072017]

"Saya nikahkan kamu AL dengan anak saya AS dengan mas kahwin... tunai berserta surah ar-Rahman"

"Aku terima nikahnya AS dengan mas kahwinnya... tunai beserta suruh ar-Rahman"

~Takbir~

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Alhamdulillah, tiada ucapan yang paling indah selain memanjat penuh kesyukuran kepada-Nya. Dari-Nya dia hadir dan dari-Nya jualah aku berserah.

Mimpikah aku?

Tidak AS, engkau tidak bermimpi

Terasa seakan ada yang membisik di telinga. Aku mulai sedar, disekelilingi aku ada ramai mata yang memandang. Masing-masing menghadiahkan kepadaku sebuah senyuman. Tidak lupa, Encik cameraman pun sibuk mengambil posisi.

Tiba-tiba...

Seorang jejaka yang segak berpakaian putih, bersampin kemas dan juga bertanjak emas datang mendekati aku. Mata coklatnya pula menatap mataku. Tangannya dihulurkan.

(Gelabah)
                                                     
Apa yang perlu aku buat. Terasa ada perasaan aneh yang masuk di hati. Satu badan terasa sejuk. Hendak salam atau tidak. Mata-mata yang tertempu masih tidak berganjak. Ingin sekali mereka melihat aku menyalami jejaka di depan ini. Ada juga yang mengusik nakal membuatkan aku makin tidak keruan.

Aku cuba untuk hulurkan tanganku ke depan tetapi sekejap kemudian aku menarik semula. Entah tidak tahu mengapa. Perasaan gementar ingin menyentuh tangan yang dulunya asing bagi aku tetapi kini sudah sah menjadi seorang suami membuatkan diri seakan membeku. Mungkin terasa banyak kali aku menarik tangan, akhirnya umi memegang tanganku untuk menyalaminya. MasyaAllah, hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu perasaan aku ketika itu.

   
       Selepas itu, sebentuk cincin yang bermatakan permata merah disarungkan pula di tangan aku.  Terdengar lafaz Bismillah dibibirnya. Aku pun melakukan hal yang sama dan tangannya aku salami buat kali yang kedua. Tanpa aku sedar, ada satu perasaan yang sukar hendak aku tafsirkan hadir di dalam hatiku. Satu perasaan yang tenang apabila berada di sisinya. Walaupun aku masih tidak mampu untuk menatap wajahnya apatah lagi matanya tetapi perasaan itu hadir menutupi jiwa yang resah. Mungkin ini yang dinamakan cinta?


 [24102017]

Alhamdulillah, sudah genap ikatan aku dengannya selama 3 bulan 3 minggu. Hendak masuk 4 bulan. Banyak aku pelajari daripadanya. Walaupun kadang ada kurang garamnya tetapi aku cuba menambah perisa biar cukup rasa.

Duhai suamiku yang tercinta,

Terima kasih kerana sudi menerima aku seadanya,
Terima kasih kerana bersabar dengan karenah aku,
Terima kasih kerana ada di setiap masa aku memerlukan dirimu,
Terima kasih kerana engkau menghormati aku sebagai seorang wanita,
Terima kasih kerana sentiasa membuat aku tertawa,
Terima kasih kerana sentiasa mengingatkan aku pada-Nya,
Terima kasih kerana sentiasa memelihara auratku,
Terima kasih kerana sentiasa melindungi aku dari mara bahaya,
Terima kasih kerana sentiasa tersenyum walaupun aku tidak tersenyum,
Terima kasih kerana sentiasa menjaga makan minum aku disaat aku sakit mahupun aku sihat,
Terima kasih buat segalanya sayang...

Duhai Suamiku yang tercinta,

Walaupun baru beberapa genap ikatan ini tetapi aku yakin engkau lah Imamku di dunia mahupun di akhirat.
Walaupun aku tidak pernah menjangka engkaulah suami aku tetapi kini aku yakin engkaulah suamiku di dunia mahupun di akhirat.
Walaupun aku tidak pernah memikirkan dirimu sebelum ini tetapi kini engkau lah yang sentiasa berlayar di fikiran aku.
Walaupun aku tidak pernah berbicara dengan engkau sebelum ini tetapi kini suaramu lah yang membuat aku tidak sabar ingin berbicara denganmu.
Walaupun aku tidak pernah berharap akan berjalan denganmu tetapi kini aku sangat berharap dapat berjalan denganmu di setiap masa.
Walaupun dulu aku berharap engkau jauh daripada aku tetapi kini aku sangat berharap agar engkau sentiasa dekat dengan aku.

Duhai suamiku yang tercinta,

Sungguh aku beruntung Allah s.w.t menghantar dirimu untukku dan aku sangat bertuah memiliki dirimu. 

Maafkanlah aku jika aku tidak seperti yang engkau jangkakan,
Maafkanlah aku jika aku membuatkan dirimu terasa dengan sikapku,
Maafkanlah aku jika aku tidak melakukan seperti apa yang engkau mahu,
Maafkanlah aku jika aku tidak memenuhi permintaanmu,
Maafkanlah aku jika aku bukan seorang isteri yang engkau impikan,
Maafkanlah aku jika aku tidak mampu menahan amarah aku,
Maafkanlah aku jika kata-kataku mengguris hatimu,
Maafkanlah aku duhai suamiku. Sungguh, bukan niat aku untuk melakukan semua itu. Aku cuba menjadi yang terbaik walaupun aku tahu banyak kekurangan aku berbanding dirimu. Maafkanlah aku.

Duhai Suamiku yang tercinta,

Tiada yang aku harapkan selain meraih redha-Nya.
Bimbinglah aku jika aku semakin jauh daripada-Nya.
Genggamlah tangan aku jika aku semakin futur terhadap-Nya.
Tariklah aku jika aku hanyut di dalam dunia.
Pimpinlah aku agar sentiasa berjalan bersamamu menuju rahmat-Nya.


Duhai suamiku yang tercinta,

Tidak banyak yang aku dambakan tetapi Aku berharap,

Moga ikatan kita mendapat barakah dan maghfirah-Nya.
Moga ikatan kita kekal hingga ke Jannah-Nya.
Moga ikatan kita dilindungi daripada hasutan-hasutan yang durjana.
Moga ikatan kita dipayungi dengan rahmat-Nya di dunia mahupun di akhirat.
Moga ikatan kita dilimpahi dengan kasih dan sayang-Nya.
Moga ikatan kita terus membawa kita mengejar Cinta-Nya.

Aamiin Ya Rabbal 'Alamin.


Duhai Suamiku yang tercinta,

Sayangku, Kasihku dan Cintaku padamu tidak pernah pudar walau sedetik. Engkaulah hati dan jiwaku.

'Je Vous Aime Mr.Husband'

Yang benar,
Isterimu yang mengharapkan cintamu.
24 Oktober 2017
Amman, Jordan. 





                                               


06 May 2017


Adakah dia Imamku?

7 Mei 2016

Tepat jam 2 pagi waktu Jordan dan 7 pagi waktu Malaysia, ayah mesej.

Tiba-tiba ayah cakap, 'awa nak tak dengan orang sekian-sekian..', aku yang tadi ingin melelapkan mata terus terbantut niat untuk tidur selepas baca mesej ayah. Mana tidaknya, ayah tidak pernah hendak kenengkan anak dia dengan someone tapi hari ini bicara ayah macam serious. Ayah kata orangnya tidaklah sehensem mana. Maksudnya tidaklah sehensem mat salleh atau mat Din or mana-manalah tapi dia ada rupa dan taat ibubapa and bagi ayah dia hensem. Aku yang dengar hanya mampu mendengar.

Sebelum ini ada kisah someone tu nak digandingkan dengan orang lain tapi tak tahu macam mana boleh pindah dekat empunya diri. Biasanya baca dekat novel tapi saat itu terasa ia menjadi realiti. Dalam hati, hebat betul someone ni sampai ayah dengan umi pun nak jadikan menantu. Means dia berjaya menawan hati umi ayah.

Terdiam seketika. Adakah ini mimpi? Aku minta ayah tempoh, lagi-lagi aku sedang menghadapi second exam pada ketika itu. Ayah pun tak paksa. Selepas tamat perbualan, panjang aku termenung. Tak dapat nak tidur dibuatnya dek terfikir akan bicara ayah tadi. Dalam hati, betul ke ni? 

Hari keesokannya umi mesej. Ini tak lain mesti hendak menanyakan jawapan. Umi kata,'Awa ok tak dengan someone tu?'..

(Tarik nafas panjang...)

Hmmm...apa yang harus aku jawab, nampak sangat umi ayah sukakan someone ni. Entah dari mana aku dapat kekuatan dan terasa ringan ingin membalas pertanyaan umi dan akhirnya aku jawab, 'InsyaAllah awa terima dengan hati yang terbuka dan redha, kalau itu yang terbaik untuk awa dan umi ayah merasakan dia yang terbaik untuk anak awa, awa terima.' Siapalah diri ini kalau nak buat hati umi ayah terluka. Saat itu aku berdoa, 'kalau betullah dia untuk aku, Engkau berikanlah aku petunjuk'. Dan saat aku beri jawapan dekat umi ayah, saat itu jugalah hati terasa tenang dan tidak terasa berat untuk terima daripada yang sebelum ini. Kisah sebelumnya ada yang kenengkan juga tetapi saat itu hati terasa berat dan takut semua bercampur baur. Alhamdulillah tak jadi nak bersatu. Syukur juga kerana perasaan gelisah hilang. Sungguh, Allah lah yang Maha Mengetahui yang mana terbaik untuk hambanya.

Pada 22 ogos 2016 aku pulang ke Brunei dan keesokkan harinya 23 Ogos 2016, keluarga dia datang merisik. Sebelum keluarga dia datang, pagi itu ada seorang akhawat Amman hantar mesej sebagai perantaraan untuk menyampaikan hajat seseorang dari sana. Sudah. Apa yang perlu aku jawab. Tanya pula pada waktu aku akan menjadi milik orang dalam beberapa detik sahaja lagi. Akhirnya, aku biarkan dahulu sehinggalah majlis  risikan selesai. Pada malamnya pula, aku mencapai phone dan menghatarkan kata maaf kerana terpaksa menolak. Aku mendoakan dia dapat yang terbaik lagi daripada aku. Moga Allah merahmati dia. Kesian juga. Aku memahami perasaan itu. Opss! Abaikan. Tapi apakan daya, Peraturan Allah adalah sebaiknya. Pasti ada hikmah disebalik aturan ini. Itu lah yang aku pegang sehingga kini.

05 February 2017

Aku diikat dengan majlis adat. Majlis Pertunangan. Bertemakan merah dan warna ungu bagi sebelah dia dan aku. Tambah lagi dengan 20 buah dulang bagi pihak lelaki untuk pihak perempuan dan 21 buah dulang bagi pihak perempuan untuk pihak lelaki. Aku difahamkan adat di Brunei berbeza sedikit dengan adat di Malaysia. Di brunei, hantaran boleh diserahkan sewaktu majlis akad nikah ataupun sebulan sebelum majlis akad nikah. Jika hantaran diserahkan sewaktu majlis akad nikah, maka ia akan mengambil masa yang lama. Di mana, bagi mereka ia adalah satu majlis juga. Jadi, panjanglah berbalas pantun dan sebagainya. Maka dengan sebab itu, keluarga dia memilih untuk menghantar hantaran sebelum majlis akad nikah dan dapat menjimatkan masa sewaktu majlis nanti. Seperti mana tarikh yang tertera di atas, majlis hantaran diawalkan 5 bulan sebelum majlis akad nikah pada 2 Julai 2017 bersamaan 8 Syawal 1438 Hijrah. Hal ini adalah kerana, aku masih belajar. Jadi, terpaksa diawalkan. Pulangnya aku pada bulan satu hanyalah disebabkan ingin menjayakan majlis ini. Kemudian, seminggu selepas itu aku akan kembali semula ke Jordan untuk menyambung pelajaran sehingga tamat sesi yang terakhir pada 4 Jun 2017 nanti. Maka terciptalah sejarah Majlis Pertunangan di gabung sekali dengan majlis hantaran. 

Akhir sekali, aku percaya dengan aturan Tuhan kerana Dia lah sebaik-baik Perancang. Walaupun aku tidak mengenali siapa dia yang sebenarnya, cukuplah bagi aku mengetahui bahawa dia seorang yang sangat menghormati ibu bapanya dan seorang yang pandai menjaga ikhtilat. Moga dia juga akan menghormati umi dan ayah. InsyaAllah. Moga aku juga begitu. Dan Moga Allah permudahkan urusan ini sehingga ke akhirnya. Aamiin.

Bersambung...



02 April 2017

Don't Forget Allah, F.S

You down and out
You just can't cope
You wanna shout
you lost all hope
On your knees, begging please
You turn and pray to find your way

Hey, you make doa Allah's there
Whoever you are, cause he cares
Then you forget to say thank you Allah
You forget to say Inshallah
You forget to say Subhanallah
Raise your hands
Alhamdulillah

Let's flashback, let's back drive
Towards a time like yours and mine
The story of the three
Who'll long to be
To who be free of their misery

To the one floor he opens the door
Gave him empty of his bounty

Then you forget to say thank you Allah
You forget to say InsyaAllah
You forget to say SubhanaAllah
Raise your hands Alhamdulillah

Can't you see His promise to you
Can't you see His promise is true
Hold on to the rope of Allah
Don't lose hope in Allah
If you remember Allah in prosperity
He'll not forsake you in adversity
Be mindful of Allah
He'll guide you to all that His good

Then you forget, to say thank you Allah
You forget to say InsyaAllah
You forget to say SubhanaAllah
Raise your hands, Alhamdulillah

Get down and out
You just can't go
you wanna shout
you lost all hope
On your knees
begging please
You turn and pray
to find your way

05 March 2017

- ILMU QIRAAT 3.0 -
Rukun-rukun qiraat terbahagi kepada tiga. Antaranya:

1/ Sanadnya sahih terus daripada Rasulullah saw. Yakni bacaannya bersambung dengan bacaan baginda saw (secara musyafahah).
2/ Menepati kaedah bahasa arab.
3/ Menepati kaedah Uthmani.
Oleh itu, jika bacaan tersebut tidak menepati antara salah satu rukun di atas atau kesemuanya, maka bacaan itu tidak sah dan tidak boleh dibaca di dalam solat.

Ringkasan Imam-imam qiraat dan perawi:

1/ Imam Nafi' al-Madani
· Imam Qalun
· Imam Warsh

2/ Imam Ibn Kathir al-Makki
· Imam Bazzi
· Imam Qunbul

3/ Imam Abu 'Amru
· Imam ad-Duri
· Imam as-Susi

4/ Imam Abdullah Ibn 'Amir
· Imam Hisham
· Imam Ibn Zakwan

5/ Imam Asim al-Kufi
· Imam Syukbah
· Imam Hafs

6/ Imam Hamzah al-Kufi
· Imam Khalaf
· Imam Khallad

7/ Imam Kisaie al-Kufi
· Imam Abul Harith
· Imam Ad-Duri

8/ Imam Abu Jaafar al-Madani
· Imam Ibn Wardan
· Imam Ibn Jammaz

9/ Imam Yaakub al-Hadhrami
· Imam Ruwais
· Imam Rauh

10/ Imam Khalaf al-A'syir
· Imam Ishak
· Imam Idris

- Apakah perbezaan antara Qiraat Tujuh dan Qiraat Sepuluh?
Terdapat dua Toriq (jalan) yang menjadi panduan utama dalam disiplin Ilmu Qiraat ini iaitu Toriq al-Syatibi ( Qiraat Tujuh ) melalui matan حرز الأمانى ووجه التهانى dan Toriq al-Jazari ( Qiraat Sepuluh ) melalui matan طيبة النشر فى القرءات العشر .
Toriq al-Syatibi dinamakan dengan الصغرى kerana periwayatan beliau terhadap Turuq Qiraat adalah kecil dan sedikit, bermaksud ia tidak menyeluruh dan mendalam terhadap kesemua Turuq Qiraat.
Sementara Toriq al-Jazari pula dinamakan dengan الكبرى kerana periwayatan beliau terhadap Turuq Qiraat adalah menyeluruh dan mencakupi semua Turuq, walaupun terdapat perbezaan diantara kedua-dua Toriq tersebut dari susur periwayatan Turuq masing-masing. Namun kedua-dua Toriq ini adalah betul dan sohih. (ruj: Abd. Jalal A.Manaf:DQ)

..........
InsyaAllah ilmu qiraat yang seterusnya kita akan membincangkan tentang 'بعض اصطلاحات القراء'  . Istilah-istilah para Qurra' di dalam ilmu qiraat.

Wallahu'alam.

TADABBUR RINGKAS SURAH YAASIIN

Ustaz Kamaru Salam Yusof Perkongsian bersama AMG   Muqaddimah 1 Ucapan Salam merupakan ucapan yang dijadikan oleh Allah swt sebagai ...