CINTA BARAKAH
DARI TUHAN
“Sya, kau nak ikut aku tak?”
“Nak pergi mana?”
“Jumaat ni ada Daurah Ahlan Ramadhan
dekat rumah aunty Ain” Jawab Laila sambil menyarungkan tudung bawal di
kepalanya.
“Siapa lagi yang pergi ke sana?”
“Kalau tak silap aku, student dari UIA,
USIM dan UPM. Selebihnya aku tak pasti”.
“Hmmm…Laila, esok aku bagi tau kau semula
boleh? Aku confirm kan dengan naqibah aku dulu samada jumaat ni ada
apa-apa aktiviti atau tidak”.
“Ok, nanti kau mesej aku tau Sya. Aku dah kena
gerak dah ni. Tak pasal-pasal jadi model tak berbayar Dr.Amin pula. Silap hari
bulan muka aku terpampang dalam majalah kolej.” Sempat lagi kawan aku ni membebel.
Takut kena denda lah tu. Qisya tawa kecil melihat gelagat sahabatnya.
……….
“Am, tolong mama alihkan meja dan kerusi
ke tepi sana. Mama nak ke atas solat zohor sekejap. Mama belum solat lagi. Ha, satu
lagi jangan lupa set up khemah petang nanti. Terima kasih tolong mama.”
Puan Ain meminta bantuan anaknya yang sedang sibuk mengemas di ruang tamu. Kalau
mengharapkan dirinya seorang, memang tidak menang tanganlah gamaknya.
“Baik ma, Am siapkan kemas ni dulu ya.”
Jawab Amsyar sambil kedua tangannya memikul pasu berharga milik mamanya.
……….
”Tahukah kamu bahawa Rasulullah S.A.W
apabila tibanya Ramadhan, sedekahnya lebih laju daripada angin yang bertiup.
Daripada Ibnu Abbas R.A katanya:
“Rasulullah S.A.W adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya
itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya
Jibril menemuinya pada setiap Ramadhan, dibawanya belajar Al- Quran. Maka
Rasulullah S.A.W lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.”
(HR Bukhari)
“Jadi, sudah siap sediakah kamu semua
untuk menghadapi Ramadhan tahun ini? Marilah kita sama-sama renungkan bersama.
Tepuk dada, tanya iman . InsyaAllah sebelum saya akhiri majlis pada malam ini, ada apa-apa
soalan yang ingin dikemukakan?” soal Prof.Abdul Latif sambil tersenyum.
“Minta
maaf prof, boleh saya tanya satu soalan?”, celah salah seorang mahasiwa berbaju
merah.
“Silakan, hendak menanyakan banyak soalan
pun boleh.” Balas Encik Abdul Latif dengan senyuman manisnya.
“Bagaimana hendak mengekalkan stamina
sehingga penghujung Ramadhan? Lebih-lebih lagi mahasiswa-mahasiswi seperti
kami. Cepat penat dan mungkin rasa hendak tidur sahaja. Kadang-kadang, benda sunat pun tidak dilakukan. Hanya buat benda wajib sahaja.”
“Ok, terima kasih atas persoalan yang
sangat bagus untuk dikongsikan bersama. Sebelum itu, saya hendak menanyakan
soalan pada anda semua. Perlukah kita semua ada stamina pada bulan Ramadhan?”
Para siswa saling membalas pandangan. Encik
Abdul latif yang melihat gelagat setiap pelajar-pelajar di hadapannya seperti
malu-malu kucing, di ambilnya microphone. Lalu, memulakan bicara.
“Ok baiklah, Semestinya penting bukan?
Bukan setakat Sukan Olimpik sahaja perlukan stamina yang tinggi. Malah, di bulan
Ramadhan juga kita perlukannya. Pertama sekali, kita semua harus periksa semula
niat dan hadaf kita berpuasa. Adakah puasa kita hanya menahan lapar dan dahaga?
Atau sebaliknya.
Kedua, untuk menjaga amalan, kita sebaiknya
berada di dalam bi’ah yang soleh dan solehah yakni bi’ah yang baik. Bagaimana
mungkin kita hendak membaca al-Quran sedangkan ada kawan-kawan kita yang sedang
berkaraoke, main game, berborak sakan dan seumpama dengannya. Dapatkah
kita menghayati pada setiap bait-bait kalam suci Allah Azza WaJalla? Ada
baiknya kita usaha mencari tempat yang tenang agar dapat memberi sepenuh
tumpuan pada bacaan kita. Sekaligus, kita dapat tadabbur setiap ayat yang
dibaca. Menarik bukan? Jika kita dapat fahami setiap kalam-Nya, sungguh saya
pasti dan yakin anda semua akan berasa tenang serta beroleh manfaat daripada
ayat-ayat suci al-quran.
“(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati
mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan
mengingati Allah hati menjadi tenteram.” [Ar-Ra’d:28]
Dan dalam sebuah hadits, Rasulullah S.A.W
bersabda, "Barangsiapa membaca satu huruf dari kitabullah, baginya satu kebaikan. Satu kebaikan akan dilipatgandakan sepuluh. Aku tidak mengatakan 'alif laam miim' itu satu huruf, akan tetapi. Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf." (HR.Tirmidzi no.2915. Dinilai sahih oleh Al-Albani).
Seterusnya, kita mesti pastikan minda kita
bebas daripada anasir-anasir negatif yang boleh membuatkan kita jauh tenggelam dalam
perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jangan kerana letih, kita ikutkan sahaja
kata badan. Tidur sehingga berbuka puasa? Solat pun terlepas? Kita harus ingat,
bulan puasa bukan masa untuk beristirehat tetapi bulan puasa adalah pesta
ibadah yang harus kita raikan dan hayatinya.
Akhir kata daripada saya, saya yakin anda
semua ada cara-cara yang tersendiri untuk menjaga stamina masing-masing. Anda
boleh praktikkan dan kongsikan pada rakan-rakan anda. InsyaAllah, sama-samalah
kita usaha sehabis baik buat Ramadhan tahun ini. Mungkin sahaja Ramadhan tahun
ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita semua. Dan sama-samalah kita
mengharapkan daripada Allah S.W.T pengakhiran yang husnul khatimah.
Saya akhiri majlis pada malam ini dengan sabda
Rasulullah S.A.W yang membawa maksud: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat
pintu ar-Rayyan yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa. Di tanya
(oleh pintu tersebut): Di manakah orang-orang yang berpuasa? Maka mereka pun
masuk dari pintu tersebut. Setelah semua orang yang berpuasa memasukinya, pintu
itu pun ditutup dan tidak ada lagi yang masuk melaluinya” (HR Muslim). Wallahu’alam.
Segala yang baik itu datang daripada Allah S.W.T dan semoga yang buruk itu
diampuni oleh Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim. ” Prof.Abdul Latif mengakhiri
majlis itu dengan salam.
……….
“Sesungguhnya
Kami telah menurunkannya (al-Qur’an) ini pada qadar (Malam qadar mempunyai
beberapa erti, di antaranya malam kemuliaan, kerana pada malam itu permulaan
diturunkannya Al-Qur’an dari Lauh Mahfuz kepada Nabi Muhammad SAW). Dan tahukah
kamu apa malam kemulian itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu
bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya
untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.”
[al-Qadr:1-5]
Amsyar menghembus nafas lembut. Tertunduk
dia membaca surah yang terakhir.
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf
dan suka memaafkan, maka maafkanlah aku ini.”
Entah dapatkah dia bertemu dengan malam
itu? Berpeluangkah dia untuk merasainya?
“Eh, Am tak kerja ke hari ini?” Tegur Puan
Ain sambil menguak pintu bilik anaknya yang tidak berkunci.
“Am start kerja lambat hari ini ma.”
Jawabnya ringkas.
“owh ok.” Angguk Puan Ain mengerti.
“Mama, Am nak ke pekan sekejap. Selepas tu,
Am akan masuk ke office terus InsyaAllah. Hari ini, mama tak
perlu masak untuk berbuka puasa ya. Am beli makanan di bazar sahaja nanti.” Amsyar
meletakkan al-Quran yang di bacanya di sudut sebelah katilnya. Lantas mencapai
kunci kereta Suzuki dalam poket seluar yang tergantung di belakang pintu biliknya.
“Ok Am. Hati-hati ya. Jangan lupa baca
Bismillah sebelum naik kereta. Terima kasih banyak mudahkan kerja mama.” Puan
Ain tersenyum. Lega hatinya. Tidak perlu dia susah-susah memikirkan lauk apa
yang hendak di masak. Boleh dia menghabiskan juzuk yang ke-21. Sungguh, dengan
membaca al-quran hatinya berasa sangat tenang. Hilang segala kekusutan dan
keresahan jiwa.
“Dialah yang menurunkan ketenteraman ke
dalam hati orang yang beriman, agar mereka bertambah iman berserta iman mereka
yang sedia ada; milik Allah lah tentera langit dan bumi dan Allah adalah Maha
Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” [al-Fath:4]
Tiada siapa yang dapat menurunkan sakinah
ke dalam hati manusia melainkan Allah Yang Maha Mengasihi lagi Maha Esa.
Ya Allah, thabatkan dan tetapkanlah hati
aku pada jalan-Mu. Doa Puan Ain di dalam hati.
Tolong!!
Amsyar menoleh ke belakang. Terasa seperti
ada yang memanggilnya. Tidak salah dengarkah dia?
Tolong!!!
Amsyar berlari ke lorong belakang. Dari
jauh dia melihat seorang wanita yang terdampar berlumuran darah di kakinya dan
seorang lelaki bertatu menarik tudungnya. Manakala seorang lagi memeriksa beg
tangan milik wanita itu.
“Hoi! Kau lepaskan budak perempuan tu
sekarang sebelum aku panggil polis!” Walhal, dia sudah menelefon pihak polis
semasa dia berlari ke tempat kejadian.
Qisya menggigil ketakutan. Darah di lengan
dan kakinya membasahi baju kurungnya. Sakit. Pedih kerana diseret oleh dua
orang lelaki berbadan sasa. Niatnya ingin pergi ke pekan membeli juadah berbuka
puasa. Tiba-tiba diganggu dengan sergahan seorang berkulit gelap dan seorang
lagi berkulit sowo matang. Dia tidak dapat berlawan kerana kekuatan dan kudrat
wanitanya untuk berlawan telah terkunci dengan badan sasa mereka.
“Hoi! Nampaknya kamu berdua ini cabar aku
ya!” Jerit Amsyar kerana mereka tidak mahu melepaskan perempuan itu. Lalu,
terus dibukanya cekak harimau sehingga dua orang di hadapannya tumpas dengan
izin Allah.
Tidak lama kemudian, kedengaran siren
polis dari hujung lorong. Kedua lelaki bertopengkan Iblis tadi tidak dapat
melarikan diri kerana sudah diikat oleh
Amsyar di tiang elektrik.
Amsyar segera membuka jaket hitamnya dan membaluti
aurat yang terdedah pada wanita di hadapannya. Seakan dia pernah melihat wanita
yang tidak sedarkan diri itu. Ligat otaknya berfikir. Akhirnya, akalnya berhubung.
Dialah wanita yang hadir di majlis di rumah mamanya tempoh hari. Mana tidak
ingatnya, dia yang memegang senarai nama pelajar yang hadir. Setiap kehadiran,
dia yang tanda.
Terkumat-kamit Amsyar istighfar. Masih ada
rupanya manusia sebegini di bulan Ramadhan. Kasihan dia melihat wanita yang
disorongkan ke dalam ambulans itu. Mesti trauma dek apa yang telah berlaku.
……….
“Ya Allah Sya, sedar pun kau. Seharian kau
tak sedarkan diri. Risau aku. Kau ok tak ni? Apa dah jadi sebenarnya. Macam
mana boleh jadi macam ni?” ucap cemas sahabatnya Laila.
Qisya membuka mata setelah merasakan ada
tangan yang sedang memegang dahinya. Kemudian, matanya melilau di sekelilingnya.
Seingat dia sedang bergelut dengan dua orang jejaka berbadan sasa.
“Qisya ok? Ni aunty Ain”.
Qisya melihat ke arah wanita tua yang
sedang berbicara dengannya.
Lama dia merauti wajah di hadapannya.
Lalu, menganggukkan kepalanya setelah akalnya mengenali wanita yang berada di
sampingnya.
“Anak aunty yang jumpa Qisya.
Sekarang ini dia ada di balai polis tengah buat laporan. InsyaAllah khair,
Qisya jangan risau ye. Anak aunty dah cerita semuanya pada aunty.
Alhamdulillah kamu selamat dan kedua-dua orang yang berbuat jahat terhadap kamu
sudah dimasukkan ke dalam lokap dengan kesalahan dadah dan kekerasan”.
Qisya tersenyum tanda terima kasih dan
syukur kerna Allah masih memberi peluang pada dirinya untuk beramal di dunia ini. Alhamdulillah. Terima kasih Ya
Allah. Monolog Qisya sebelum kembali melelapkan matanya semula.
……….
[Pertengahan Ramadhan]
“Allahuakbar!
Mama!”
Amsyar terbangun dari tidurnya. Terkejut
kerana ibunya dibaluti kapan putih sedang melihatnya sambil tersenyum. Dia
mengelap peluh yang membasahi dahinya. Tanpa dia sedar, ada sebutir air mata
jatuh di pipi. Lantas, dia terus bangun meninggalkan biliknya menuju ke bilik
mamanya.
Amsyar menguak pelahan pintu bilik mamanya
dan melihat mamanya sedang sujud di tikar sejadah. Tidak lama kemudian bangun
duduk tahiyyat akhir.
“Huh…” Amsyar mengeluh. Mimpi rupanya.
Alhamdulillah.
Puan Ain merasakan seperti ada yang sedang memerhatikan dirinya. Lalu, menoleh ke arah belakang. “Am, kenapa tu, resah saja mama
lihat. Ada yang tak kena ke?”
Amsyar mengangkat kepala melihat mamanya.
“Tidak ada apa-apa mama. Am, nak solat
sekali dengan mama boleh. Am rindu.” Balas Amsyar lalu terus memeluk erat
mamanya.
Puan Ain yang pelik dengan sikap anaknya
hanya membalas perlukan anaknya itu.
……….
“Qisya, kau tak rasa pelik ke dengan aunty
Ain?”, soal Laila.
“Nak rasa pelik kenapa?”
“Ya lah. Dia banyak tolong kau masa dekat
hospital hari tu. Duit bil hospital pun dia yang bayar. Makan minum kau pun dia
yang jaga. Jangan-jangan aunty Ain kot yang selama ni bagi kau duit tambahan
dalam bank setiap bulan.”
Qisya melirik matanya ke arah sahabatnya.
Ada betul juga apa yang dikatakan oleh sahabatnya. Mana mungkin orang luar
hendak menolongnya dengan sebegitu rupa. Akalnya ligat berfikir.
……….
“Am, mari ke sini sekejap. Mama hendak cakap
sesuatu dengan kamu.”
Amsyar meletakkan fail kerjanya di atas
meja.
“Kenapa ma? Macam serius sahaja bunyinya.”
“Memang serius. Ini soal hidup dan mati
seseorang.”
Amsyar merenung dalam mata mamanya. Lantas
dia terus teringat akan mimpinya
beberapa hari yang lalu. Mungkinkah ini wasiat yang terakhir dari
mamanya.
Puan Ain memberi sekeping gambar seorang
gadis pada tangan anaknya.
Amsyar melihat sekali imbas. Lalu, otaknya
berkata bahawa gadis inilah yang dia selamatkan. Mata bulatnya merenung mamanya
meminta penjelasan.
“Ya, gadis itulah yang kamu selamatkan.”
Puan Ain seperti dapat mengagak apa yang akan diperkatakan oleh anaknya.
“Gadis ini adalah adik kamu. Adik susuan.” Terus terang Puan Aini tanpa berdalih kata.
Amsyar terkejut.
Kenapa dia tidak pernah tahu bahawa dia ada seorang adik selama ini dan kenapa
mamanya perlu rahsiakan daripadanya.
“Mama minta maaf kerana tidak memberitahu
kamu sebelum ini. Mama rasa hari ini adalah hari yang tepat untuk beri tahu
kamu. Mama tidak ada pilihan selain merahsiakan prihal ini dengan kamu. Mama
terpaksa demi kebaikan kamu berdua. Nama adik kamu Qisya. Emak Qisya adalah
sahabat baik mama sewaktu di universiti dahulu dan dia serahkan Qisya dekat
mama semasa kamu masih dua tahun. Sahabat mama wasiatkan kepada mama supaya
menjaga Qisya dengan sebaik mungkin.”
“Tapi kenapa sekarang ma?”
“Mama minta maaf Am. Mama tahu mama salah
tapi mama terpaksa. Kalau kamu hendak tahu lelaki yang kacau Qisya itu adalah bapa
kandung kepada adik kamu dan seorang lagi pakciknya. Mereka inginkan Qisya.
Mereka hendak menjual Qisya ke negara jiran demi mendapatkan apa yang mereka
mahu. Jika dia tahu kamu abangnya, mungkin dengan kamu sekali mereka bawa dan
mama tidak mahu perkara itu terjadi. Sebab itu, mama pisahkan kamu berdua. Tentang kejadian hari itu, mama tidak tahu
bagaimana mereka menjumpai Qisya. Tapi, mama bersyukur Allah selamatkan adik
kamu melalui kamu. Mama rasa Allah ingin beri petunjuk kepada mama agar segera
beritahu kamu prihal ini sebelum terlambat. Mama harap kamu maafkan mama dan
mama titip hak penjagaan Qisya terhadap kamu dan kamu jangan risau, mama sudah
maklumkan hal ini kepada Qisya semalam.”
Amsyar terdiam. Terkedu. Terkejut dengan
apa yang baru sahaja dia dengari daripada mamanya.
……….
“Sya, kau ok tak ni?” Tanya Laila setelah
melihat sahabatnya macam endah tak endah sahaja apa yang diperkatakan olehnya.
Qisya Diam.
“Nur Qisya!” Jerit Laila ditelinga sahabatnya
“Oh mak kau terkejut masuk dalam baldi!”
Latah Qisya.
Berdekah Laila ketawa melihat sahabatnya
melatah. Ada ke patut mak aku masuk baldi. Mak kucing agaknya.
“Ish, kau ni Laila. Jangan lah sergah aku
macam tu. Kau tahu kan aku macam mana. Tak baik lah.”
“Janganlah kau salahkan aku. Kau yang tak
dengar apa yang aku cakap. Berbuih mulut aku dibuatnya.”
“Sorry, aku tak dengar.”
“Memang lah kau tak dengar. Kau mengelamun.
Kau fikirkan apa Sya? Sampaikan aku panggil pun kau tak dengar.”
“Sorry, aku tengah fikir pasal mama aku?”
“Mama kau?”
“Ya, aunty Ain mama susuan aku.”
“Owh ya, sorry aku lupa aunty Ain tu mama
kau. Kenapa dengan aunty Ain?”
“Semalam Amsyar call aku, cakap mama
masuk hospital kena heart attack. Aku tak tahu nak buat apa. Aku
seganlah nak ke sana. Iya lah, selama ni aku duduk sendiri je. Tiba-tiba ada
orang yang mengaku sebagai mama dan abang aku. Kalau kau dekat tempat aku, apa yang
kau buat?”
“Hmmm…aku tak tahu nak cakap apa tapi aku sebagai
sahabat baik kau, aku rasa kau pergi lah jenguk mama kau. Anggap sahaja ini
adalah hadiah Ramadhan dari Allah untuk kau. Allah bagi kau keluarga yang
sangat baik. Mungkin kau lah orang yang paling bertuah dalam dunia ini.”
Qisya merenung dalam kata sahabatnya.
Siapa lah dia ingin menolak nikmat Tuhan. Apa yang diperkatakan oleh
sahabatnya, semuanya benar belaka. Tidak patut bagi dirinya mengeluh. Apatah
lagi, merungut dengan apa yang Tuhan berikan pada dirinya.
……….
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un…” . Amsyar menutup mata bapa Qisya.
Qisya hanya melihat dari birai katil. Entah
kenapa air matanya tidak jatuh sama sekali buat bapanya. Mungkin juga kerna apa
yang dia sudah lakukan terhadap dirinya.
“It’s ok Qisya. Abang faham. Qisya
doakan sahaja banyak-banyak ya. Sungguh, yang hidup itu pasti akan mati jua. Di
bulan yang mulia ini, moga Allah mengampuni segala dosa-dosanya dan menempatkan
dia dalam kalangan orang-orang yang soleh.”
Qisya yang mendengar hanya memandang
kosong. Mungkin juga disebabkan trauma yang masih menghantui dirinya, sukar untuk dia menerima bapanya. Tetapi, jauh di dalam
sudut hatinya, dia cuba bersikap berlapang dada dengan memaafkan bapanya.
Puan Ain mendekati Qisya dengan kerusi
roda miliknya. Tangan Qisya digenggamnya dengan erat. Apa yang dilalui Qisya amat
memukul jiwa raganya. Begitu hebat ujian Ramadhan buat Qisya. Walaupun dia
bukan anak kandungnya tetapi susu yang mengalir dalam diri Qisya membuatkan kasih
sayang terhadap Qisya melebihi segala yang ada pada dirinya.
……….
[Sepuluh malam terakhir]
“Laila, aku bersyukur sangat. Tak sia-sia
kau bagi semangat dekat aku. Sekarang aku rasa happy dengan keluarga
aku. Thank you Laila. Kau lah sahabat dunia akhirat aku.” Qisya memeluk
sahabatnya seusai sahabatnya habis memberi salam yang terakhir.
Laila yang baru sahaja menghabiskan
solatnya, terkejut dengan pelukan sahabatnya dari belakang.
“Eh, kau ni Sya. Kalau iya pun bagi lah
aku habis doa dulu.” Usik Laila.
“Hehe..sorry beb. Aku terharu sangat
tengok kau.”
“Banyaklah kau punya terharu. Over
lah kau ni. Tapi, Alhamdulillah. Aku happy bila tengok kau happy. Lepas ni, boleh
lah aku kahwin. Takde lah sahabat aku ni hidup terkontang-kanting. Hahaha..”
“Iya lah, pergilah kahwin. Tinggalkan lah
aku sorang-sorang dekat sini.”
Laila mencuit peha sahabatnya. Banyak
sungguh drama yang dilakukan.
……….
“Alhamdulillah, khatam sekali lagi.”
Amsyar menjunjung Al-Quran yang dipegang dengan kedua tangannya.
“Ya Allah Tuhanku, Engkau rahmatilah kami
dengan kemuliaan Al-Quran. Jadikanlah ia sebagai panduan hidup kami dan
kurniakanlah kepada kami kelazatan membacanya siang dan malam. Hiasilah diri
kami dengan perhiasan Al-Quran, muliakanlah kami dengan Al-Quran, pakaikanlah
kami dengan pakaian Al-Quran dan masukkanlah kami Ya Allah ke dalam Syurga-Mu dengan
syafaat Al-Quran. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.”
“Aamiin..” Puan Ain mengaminkan doa
anaknya. Dari luar dia terdengar sayup-sayup tangisan anaknya. Perlahan-lahan
dia memasuki bilik anaknya dengan kerusi roda miliknya.
Sementara Qisya hanya memerhati di balik
pintu. Malu ingin bersama dengan abangnya. Mungkin masih berasa janggal.
Amsyar yang mendengar orang menjawab
doanya, menoleh ke belakang.
“Mama.”
Menyedari Qisya di balik pintu, Amsyar
memanggil agar duduk di sebelah mamanya.
Qisya akur. Akhirnya, di sebelah mamanya
juga dia melabuhkan kaki duduk bersimpul.
“Alhamdulillah. Terima kasih anak-anak
mama sudi maafkan mama. Mama harap hubungan kita semua kekal hingga ke Syurga.”
Serentak itu Amsyar dan Qisya tersenyum.
“Am, mama ada satu permintaan.”
“Apa dia mama. Cakaplah."
"Am akan tunaikan hajat mama kan?”
Mata Puan Aini dan Amsyar bertembung seribu makna.
Dengan perlahan Amsyar menganggukkan kepalanya sambil menggenggam erat tangan mamanya.
Qisya hanya memerhati. Apa yang dihajatkan pun dia tidak tahu. Biarlah urusan dua beranak itu sahaja.
“Alhamdulillah. Satu lagi permintaan boleh?" Sengih Puan Aini menampakkan giginya.
"Boleh ma, cakap sahaja apa yang mama mahukan, insyaAllahh Am akan usahakan."
"Boleh Am imamkan solat tarawih dan solat tahajjud?
Mama hendak kita sama-sama solat berjemaah. Moga malam ini, kita dapat merasai
sentuhan lailatul Qadr bersama dan apa yang berlaku sepanjang ramadhan ini
adalah cinta barakah dari Tuhan yang mahu satukan kita semua." Belai Puan Ain lembut kedua-dua pipi anaknya Amsyar dan Qisya.
“InsyaAllah, boleh mama.” Amsyar mengucup dahi
mamanya. Air mata lelakinya jatuh membasahi pipi tua mamanya.
‘Ya Allah, terima kasih kerna Engkau masih
meminjamkan mama buat aku. Aku janji akan menjaga amanat-Mu dengan baik.’ Bicara
lembut hatinya.
Qisya yang melihat, mengalirkan air mata
syahdu. Sungguh, nikmat Tuhan yang manakah dia dustakan.
“Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati
kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.
Barang siapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala
(dunia) itu, dan barang siapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula)
kepadanya pahala (akhirat) itu, dan Kami akan memberi balasan kepada
orang-orang yang bersyukur.” [Ali-imran:145]
-TAMAT-
No comments:
Post a Comment