Ustaz Kamaru Salam Yusof
Perkongsian bersama AMG
Muqaddimah 1
Ucapan Salam merupakan ucapan yang dijadikan oleh Allah swt sebagai ucapan penghuni Syurga dan kita mahu ucapan itu lah yang menjadikan kita sebagai penghuni Syurga. Ucapkanlah salam sebagai ganti kepada ‘Good Morning, Good Evening, Selamat Pagi, Selamat Petang’ kerana ucapan Morning sahaja yang good, pagi yang selamat, petang yang selamat tapi orangnya belum tentu selamat.
Di dalam Islam kita diajar
mengucapkan salam yang merupakan sebuah doa. ‘Assalamu’alaikum’,
selamat ke atas kamu, rahmat Allah ke atas kamu dan juga barakah Allah ke atas
kamu yang mana Barakah beerti kebaikan yang banyak. Jadi, saya ucapkan salam
buat semua;
السلام
عليكم ورحمة اللّه وبركاته
Muqaddimah 2
Allah swt telah mengajar kepada kita tentang Iqra’ (Bacalah). Kemudian,
Allah swt sambung dengan ayat 24 daripada surah Muhammad;
(24)أَفَلَا يَتَدَبَّرُوْنَ الْقُرْاٰنَ أَمْ عَلٰى قُلُوْبٍ أَقْفَالُهَا
“Maka tidakkah mereka menghayati Al-Quran, ataukah hati mereka sudah terkunci?”
Perumpamaan ini Allah swt sebutkan untuk menunjukkan kepada kita bahawa betapa pentingnya mentadabbur Al-Quran. Bukan sekadar kita membaca (Iqra’) dengan bertajwid sahaja tetapi diikuti juga dengan menghayati Al-Quran.
Orang yang membaca Al-Quran dengan terbata-bata akan mendapat 2 ganjaran pahala. Merangkak-rangkak satu pahala dan membaca satu pahala. Allah swt tidak akan membebani seseorang tetapi Allah swt akan marah kalau kita tidak cuba untuk membaca, belajar dan memahami Al-Quran.
Tadabbur Ringkas Surah Yaasiin
Surah Yaasiin merupakan surah Makkiyah yang mana diturunkan di Makkah. Oleh kerana surah ini merupakan surah Makkiyah, banyak perkara yang Allah swt utarakan berkaitan Aqidah iaitu perkara yang perlu diubah didalam pemikiran, hati dan pegangan seorang manusia.
Tidak dinafikan bahawa banyak sebenarnya perkara yang terpesong di dalam diri kita kerana kita hidup di zaman moden. Terdapat pemikiran-pemikiran yang baru dan cuba mempengaruhi hati dan diri kita sendiri. Sebagai contoh, Tik-Tok, Instagram, Facebook, Youtube dan sebagainya. Semua benda-benda ini secara tidak sengaja mengubah cara pemikiran kita terhadap sesuatu benda.
Oleh sebab itu, kita harus baca Al-Quran agar Allah swt betulkan cara berfikir, cara emosi, aqidah dan cara keyakinan kita.
Jadi, surah Yaasiin ini nak betulkan banyak perkara.
Sifat-sifat Allah swt
Huruf “Yaa siin” merupakan huruf muqatho’ah yang mana banyak dibahaskan oleh para ulama’. Menurut tafsir seperti tafsir al-Jalalain yang muktabar kesimpulannya yang mengetahui hakikat-hakikat huruf-huruf awal ini adalah Allah swt.
Ayat kedua
والقُرْءانِ الحَكِيم
(2)
“Demi Al-Quran yang penuh hikmah”
Allah swt bersumpah dengan Al-Quran. "Al-Quran yang amat bijaksana"
Al-Quran itu adalah (الحَكِيم) dan salah satu nama Allah swt juga (الحَكِيم).
(الحَكِيم) ini mempunyai dua makna besar yang disebut oleh para ulama’
dari segi tafsirnya;
- Yang mantap, yang kukuh, yang tidak berganjak,
yang memang betul
- Yang mempunyai penuh hikmah
Jadi, kedua-dua makna ini sekiranya di apply kan pada Al-Quran, Al-Quran merupakan yang mantap, tidak boleh diubah, tidak boleh di tolak-tolak oleh manusia dan tidak boleh mengatakan bahawa Al-Quran itu tidak betul.
Jika diundur masa kembali, sejak zaman purba lagi telah ada yang mengatakan Al-Quran ini tidak betul, Al-Quran ini lemah tetapi sehingga kini manusia telah 1400 tahun berlalu masih tidak ada seorang pun yang mampu mengatakan Al-Quran itu tidak betul. Sebaliknya, siapa yang mengatakan Al-Quran ini tidak betul, kata-kata itu balik pada dirinya sendiri. Hakikatnya, dialah terbukti yang tidak betul. Al-Quran akan tetap utuh sehingga hari kiamat. Sebab itu, barangsiapa yang membaca Al-Quran dan mempelajari Al-Quran, dia telah mempelajari sesuatu benda yang utuh.
Hal ini berbeza dengan kita mempelajari ilmu sains mithalnya. Pada zaman dahulu, biologi, fizik atau kimia lain. Kini, sudah ada teori baru yang datang dan mengubah ilmu sains itu. Tetapi, Al-Quran berlainan dengan subjek-subjek yang lain. Allah swt menerangkan bahawa Al-Quran merupakan (ءاية) iaitu satu tanda ‘sign’ bagi manusia.
Ayat ketiga
إِنَّكَ لَمِنَ المُرْسَلِينَ
(3)
“Sesungguhnya, engkau (wahai Muhammad) adalah salah seorang daripada rasul-rasul.”
Kaum yang mengingkari risalah nabi Muhammad saw telah menuduh baginda macam-macam. Mereka mengatakan nabi Muhammad saw adalah penyihir, seorang yang gila, mereka tuduh dan reject dakwah nabi Muhammad saw. Bayangkan apa perasaan nabi Muhammad saw pada ketika itu?
Sekiranya, kita difitnah dan dicemuh dengan pelbagai tomahan, apa yang kita rasa?
Jadi, Allah swt telah turunkan ayat ini hendak memberitahu kabar gembira kepada nabi Muhammad saw bahawa dia adalah dari golongan para rasul. Beerti sebelum ini telah ada rasul, bukan Engkau nabi Muhammad seorang diri sahaja Rasul dan Engkau tidak perlu risau. Teruskan sahaja kerja-kerjamu kerana Engkau seorang Rasul.
Ayat ini menjadi penguat kepada nabi Muhammad saw. Risalah yang dibawa oleh baginda saw adalah benar. Al-Quran itu juga benar. Al-Quran itu mempunyai hikmah-hikmah yang tidak terbongkar oleh manusia.
Ibarat seperti lombong besi yang digali tetapi boleh habis. Al-Quran sekiranya digali tidak pernah habis. Ada sahaja hikmah yang Allah hendak berikan. Maka, rugilah bagi siapa yang tidak menggali Al-Quran, tidak membaca Al-Quran, tidak mempelajari Al-Quran dan menghayati Al-Quran.
Oleh itu, Allah swt sebutkan di dalam Al-Quran surah al-Qamar:17,22,32;
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا
القُرْءَانَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِر (17) & (22) & (32)
“Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pengajaran?”
Sekiranya, kita tidak membaca Al-Quran, mana mungkin kita akan perolehi peringatan? Jadi, jangan berhenti membaca dan mentadabbur Al-Quran.
Ayat 20
وَجَآءَ مِنْ أَقْصَا المَدِينَةِ
رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَقَومِ اتَّبَعُواْ المُرْسَلِينَ (20)
“Dan datanglah dari hujung kota, seorang lelaki dengan bergegas dia berkata: “Wahai kaumku! Ikutilah utusan-utusan itu.”
Tanggungjawab nabi Muhammad saw adalah menyampaikan Al-Quran kepada umat baginda saw. Tanggungjawab pertama baginda adalah kepada orang depan baginda yakni orang Makkah.
Nabi Muhammad saw sejurus sahaja dapat wahyu daripada Allah swt, baginda tidak simpan seorang diri tetapi baginda saw terus menyampaikan pada umatnya.
Jadi, menjadi tanggungjawab keatas kita apabila kita sudah faham dan belajar Al-Quran, kita mesti sampaikan Al-Quran kepada orang yang belum sedar dan yang tidak tahu lagi tentang Al-Quran.
Tidak kiralah dengan cara apa sekalipun. Zaman sekarang adalah zaman teknologi, gunakanlah kaedah yang ada untuk share kepada orang ramai kerana itu adalah tanggungjawab kita yang sudah mengetahui untuk sebarkan.
Allah swt telah menceritakan bahawa nabi Muhammad saw telah menerima tekanan dan kesusahan semasa menyebarkan risalahnya. Di dalam ayat ini, Allah swt mengisahkan satu kisah mengenai seorang pemuda. Terdapat ulama’ yang mengatakan nama pemuda yang disebutkan di dalam ayat 20 ini adalah ‘Yaasiin’ (ayat pertama daripada surah ini). Ada juga para ahli tafsir mengatakan nama pemuda ini adalah Habib an-Najjar.
Terdapat di sebuah tempat (Allah swt tidak menyebut di mana tempat itu) yang Allah swt utuskan seorang rasul dan tugas rasul ini adalah menyampaikan Islam kepada penduduk negeri itu tetapi malangnya orang di negeri itu tidak mahu menerima dakwah yang disampaikan.
Kemudian, tiba-tiba muncul seorang pemuda yang datang
jauh daripada hujung negeri (أَقْصَا
المَدِينَةِ) dalam keadaan yang tergesa-gesa (berlari) selepas menerima
kabar akan penolakkan penduduk negeri itu dengan risalah yang disampaikan dan berkata
“Wahai kaumku! Ikutilah utusan-utusan itu.”. Ikutlah apa
yang dibawanya. Ikutlah kebenaran yang diperkatakan olehnya. Selepas itu, pemuda itu
berkata lagi, (rujuk ayat berikutnya)
Ayat 21
اتَّبِعُوا مَن لَّا
يَسْئَلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ (21)
“Ikutilah orang yang tidak meminta imbalan kepadamu dan mereka adalah orang yang mendapat petunjuk.”
Yakni orang yang berdakwah seperti ini tanpa meminta upah dan mencari keuntungan adalah orang yang benar. Mereka menyeru aqidah yang satu yang tidak ada didalamnya sebarang khurafat dan kesamaran, dan mereka mendapat hidayah (petunjuk) yang lurus.
Sama seperti Nabi Muhammad saw semasa dakwahnya, tidak sama sekali baginda menerima upah melainkan dibalas dengan kekerasan dan kekejaman. Walaupun, baginda saw tidak menerima upah, baginda tetap menyampaikan dakwahnya. Ini adalah sifat para nabi dan rasul yang tidak menerima sebarang upah melainkan melaksanakan perintah Allah swt.
Ayat 22
وَمَالِىَ لآ أَعْبُدُ
الَّذِى فَطَرَنِى وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (22)
“Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima agama mereka? Maka jawabnya): Tidak ada alasan bagiku untuk tidak menyembah (Allah) yang menciptakanku dan hanya kepadaNya lah (aku dan) kamu akan dikembalikan”
Kemudian, pemuda itu kembali menceritakan kepada mereka tentang dirinya dan sebab-sebab mengapa dia beriman melalui ayat ini.
Sesungguhnya, Tuhan (Allah swt) yang menciptakan kita bukan patung-patung berhala. Jadi, kenapa kita tidak menyembah Dia yang telah menciptakan kita dan tidak menghambakan diri kepada Dia?
Dan sesungguhnya seluruh makhluq itu pada akhirnya akan Kembali kepada Khaliqnya sebagaimana segala sesuatu itu pulang kepada asalnya.
Ayat 23
ءَأَتَّخِذُ مِن
دُونِهِ ءَالِهَةً إِن يُرِدْنِ الرَّحْمَنُ بِضُرٍّ لَّا تُغْنِ عَنِّى شَفَعَتُهُمْ
شَيئًا وَلَا يُنقِذُونِ (23)
“Mengapa aku akan menyembah tuhan-tuhan selain-Nya? Jika (Allah) Yang Maha Pemurah menghendaki bencana terhadapku, pasti pertolongan mereka tidak berguna sama sekali bagi diriku dan mereka (juga) tidak akan menyelamatkanku.”
Kemudian pemuda itu menyebutkan satu cara hidup yang lain yang bertentangan dengan cara hidup fitrah yang lurus dan memandangnya sebagai satu kesesatan yang nyata.
Siapakah yang lebih sesat dari orang yang meninggalkan seruan Allah swt yang menyeru makhluqnya agar menyembah Penciptanya, lalu dia menyeleweng kepada menyembah yang lain dari Allah Pencipta tanpa sesuatu keperluan dan dorongan?
Siapakah yang lebih sesat dari orang yang menyembah Tuhan-tuhan yang lemah dan tidak berkuasa selain Allah swt. Adakah Tuhan-tuhan itu dapat menolong kamu ketika Allah swt timpakan bala bencana kepada kamu yang dusta lagi sesat?
Ayat 24
إِنِّى إِذًا لَّفِى ضَلالٍ
مُّبِينٍ (24)
“Sesungguhnya jika aku (berbuat) begitu, pasti akan berada dalam kesesatan yang nyata.”
Dan pemuda itu berkata dengan jelas di hadapan penduduk negeri itu yang telah mendustakan para rasul dan mengancam keselamatan mereka kerana suara fitrahnya di dalam hatinya lebih kuat dari segala pendustaan dan ancaman.
Ayat 25
إِنِّى ءَامَنتُ
بِرَبِّكُمْ فَاسْمَعُونِ (25)
“Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhanmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan)ku.”
Pemuda itu juga mengaku bahawa dia beriman dan percaya apa yang diperkatakan oleh rasul itu dan menjadikan mereka sebagai saksi-saksi di atas keimanannya.
Ayat 26
قِيلَ ادْخُلِ
الجَنَّةَ قَالَ يَلَيْتَ قَوْمِى يَعْلَمُونَ (26)
“(Setelah dia mati) lalu dikatakan (kepadanya): “Masuklah ke syurga.” Dia (lelaki itu) berkata: “Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui.”
Ulama’ tafsir menafsirkan antara ayat 25 dan permulaan ayat 26 ini seperti jauh. Daripada pemuda itu sedang berkata di dunia tentang keimanannya, terus masuk prihal akhirat yakni diperintahkan kepada pemuda itu masuk ke dalam Syurga.
Ayat 25, pemuda ini berkata (فَاسْمَعُونِ) dengarkanlah (pengakuan keimanan)ku.
Tiba-tiba pada ayat 26, (قِيلَ ادْخُلِ الجَنَّةَ) “(Setelah dia mati) lalu dikatakan (kepadanya): “Masuklah ke syurga.”
Para ulama’ tafsir menjelaskan bahawa selepas sahaja pemuda itu mengatakan keimanannya terhadap Allah swt, penduduk di negeri itu terus membunuhnya.
Belum sempat dikuburkan telah diberitahu kepada pemuda itu teruslah kamu masuk ke dalam Syurga-Nya.
MasyaAllah, hal ini menunjukkan indahnya menjadi seorang yang berjuang kerana Allah swt. Oleh sebab pemuda itu mengajak, menyokong dan menyebarkan agar ikut seruan Allah swt dan ikut kepada rasul yang menyampaikan itu, dia terus disuruh masuk ke dalam Syurga.
Kisah ini mengajar kita agar terus berjuang di
jalan Allah swt. Teruskan sebarkan dakwah dan risalah nabi Muhammad saw.
واللَّه أعلم بالصواب
No comments:
Post a Comment