28 February 2017

- ILMU QIRAAT 1.0 -

~ FAEDAH MEMPELAJARI ILMU QIRAAT:
1/ Memelihara daripada tersalah dan terpesong ketika menyebut kalimah-kalimah Al-Qur'an.
2/ Dapat mengetahui setiap bacaan Imam Qurra' dan mampu membezakan setiap bacaan mereka.
3/ Ia menjadi hujjah kepada para Fuqaha' ketika mencari hukum-hukum syara' sebagai panduan kepada umat.

~ KELEBIHAN ILMU QIRAAT
Ia termasuk dalam semulia-mulia ilmu kerana mempunyai kaitan rapat dengan Al-Qur'an yang mana mempunyai sanad yang sahih serta besambung terus dengan Rasulullah s.a.w.
Malah, kedudukannya terletak antara rahsia ilmu yang paling tinggi darjatnya. Sebab itu, ahli-ahlinya yakni ahli Al-Qur'an merupakan guru kepada ilmu ini. Tambahan, para-para Malaikat yang mulia bersama-sama dengan mereka.
Allah s.w.t telah bersabda dalam Kitab-Nya yang bermaksud:
" ...Sesungguhnya (Al-Qur'an) itu adalah kitab yang mulia, (yang) tidak akan didatangi oleh kebatilan baik dari depan maupun dari belakang (pada masa lalu dan yang akan datang)
, yang diturunkan dari Tuhan Mahabijaksana, Maha Terpuji."
[Fussilat:41-42]
"Bahkan (yang didustakan itu) ialah Al-Qur'an yang mulia, yang (tersimpan) dalam (tempat) yang terjaga (Lauh Mahfuz)." [Al-Buruj:21-22]
Dalam hadis sahih pula, ‘Uthman bin ‘Affan radhiallahu ‘anhu berkata, bahwa Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarkannya.” [ HR . Al-Bukhari]
Para Salafus Salih berpandangan bahawa ini adalah kedudukan yang paling mulia bagi sesiapa yang belajar Al-Qur'an dan mengajarkannya serta menjaganya dalam kehidupan seharian mereka. Dan mereka membenarkannya dengan sabda Rasulullah s.a.w;
"Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga di antara manusia, para sahabat bertanya, 'Siapakah mereka ya Rasulullah?' Rasulullah s.a.w menjawab, "Para ahli Al Qur’an. Merekalah keluarga Allah dan hamba pilihan-Nya." (HR. Ahmad)
Dengan ini, terbuktilah bahawa Al-Quran itu sangat العظيم yakni sangat mulia disisi-Nya. Dan sangat mulia lah bagi orang yang belajar, mengajar dan mengamalkannya dalam kehidupan mereka. Malah, Al-Qur'an ini mendekatkan lagi hamba dengan Tuhannya. Sama seperti Ilmu Qiraat dan pengkajian tentangnya, ia adalah sebaik-baik ilmu yang mempunyai manfaat padanya.
................................................................
InsyaAllah, sesi yang akan datang kita bincangkan pula tentang bahagian Qiraat yang mana terbahagi kepada lima bahagian. Apakah bahagian itu? InsyaAllah kita bincangkan nanti.
p/s: Jika ada apa-apa persoalan atau perbincangan tentang qiraat, boleh utarakan dan kita bincang sama-sama mengenainya.
Wallahu'alam.

26 February 2017

- ILMU QIRAAT 0.1 -
Ilmu qiraat merupakan salah satu ilmu asas yang penting dalam memahami bacaan yang mutawatir daripada Rasulullah s.a.w yang kemudian diambil oleh para sahabat baginda s.a.w secara Talaqqi dan Musyafahah secara langsung daripada Rasulullah s.a.w dan baginda menerima secara Talaqqi daripada Malaikat Jibril A.S. Kemudian para sahabat pula mengajarkannya kepada para Tabi’ien dan para Tabi’ien mengajar pula kepada para Qari’-qari’ yang masyhur.
Ilmu ini berkaitan tentang kalimah Al-quran dan keadaan kalimah tersebut. Ia berkisar pada berubahan baris, harakat, hazf, naql, ibdal, ithbat dan sebagainya. Ilmu Qiraat boleh didefinisikan dari segi bahasa dan istilah.
Pengertian dari sudut bahasa adalah Qiraat jama’ kepada Qiraah (قراءة), ia merupakan masdar kepada fe’el ( قرأ يقرأ قرآنا و قراءة) . Manakala dari segi Istilah pula, ulama’ membahagikan kepada beberapa maksud. Antaranya:-
Imam Ibn al-Jazari (933H), mengatakan bahawa qiraat adalah salah satu ilmu yang berkaitan dengan cara-cara penuturan kalimah al-quran dan perbezaannya dengan nisbah pembawaannya.
Imam Shihabuddin al-Qistillani (923H), pula berpandangan bahawa qiraat ini merupakan dua perbezaan di antara al-quran dan mazahir yang berkaitan dengan perbezaan seperti perbezaan dari segi I’rab, hazf, Ibdal, Ithbat, tahrik, Iskan (baris mati), fasl (bersambung), ittisal (penyambungan kalimah) dan perbezaan penuturan serta penukaran ketika mendengarnya.
Kesimpulannya, ilmu ini membahaskan tentang cara-cara atau wajah bacaan yang dinisbahkan kepada imam-imam qiraat dan wajah-wajah bacaan ini terdapat pada kalimah yang tertentu yang berhubung sanadnya terus kepada Rasulullah s.a.w.
.......................................
InsyaAllah, sesi yang ke-2 kita akan membincangkan pula apa faedah dan kelebihan yang kita boleh perolehi sekiranya mempelajari ilmu qiraat ini.
Wallahu'alam.

08 February 2017

Pertunangan bukan menghalalkan hubungan.

Ramai dalam kalangan kita yang berfikir bahawa apabila sudah bertunang, semuanya manjadi halal.

Apakah maksud pertunangan itu sebenarnya?

Pertunangan bermaksud ikatan atau perjanjian antara lelaki dan perempuan untuk berkahwin. Hukum antara keduanya tetap sama sebelum berkahwin. Tidak boleh bersentuhan sewenang-wenangnya atau keluar berdua-duaan kehulur kehilir tanpa mahram.

Sering kali kita lihat, pemuda dan pemudi zaman sekarang menyalah tafsirkan maksud pertunangan itu sendiri.

'Boleh lah aku keluar dengan dia selepas ini..'

'Aku nak mesej apa ye dekat dia, rindu pula..'

Perbuatan dan perilaku selepas bertunang tetap sama dengan sebelum bertunang. Batas pergaulan wajib dijaga demi menjaga maruah diri dan keluarga. Malah, pertunangan itu juga harus dirahsiakan demi mengelakkan perasaan malu atau dicemuh oleh masyarakat sekiranya perkahwinan itu tidak dapat dilangsungkan.

Sepanjang tempoh pertunangan apa yang perlu dijaga?

1/ Solat.

    Solat adalah kunci seseorang Muslim untuk mengukuhkah hubungannya dengan Tuhannya. Tanpa Dia kita tidak tahu apakah yang akan terjadi di masa yang akan datang.

2/ Taat Ibu Bapa.

    Redha Allah terletak pada Ibu Bapa. Tanpa keberkatan daripada mereka, sudah pastikah kita bahawa hubungan itu akan berkekalan?

Hubungan yang dibina tanpa redha Allah umpama rumah yang dibina tanpa tiang sebagai pengukuh.

3/ Ta'aruf.

    Berkenalan dengan bakal suami atau bakal isteri sangat penting untuk alam selepas bernikah. Tetapi untuk berkenalan ada cara. Tidak boleh hanya berdua sahaja. Perlu menggunakan orang tengah atau mahram. Dan untuk berkenalan tidak perlu terlalu detail. Takut-takut apa yang kita hendak tiada pada si dia. Kesempurnaan yang kita harapkan hanya angan-angan semata-mata.

    Tidak! Kesempurnaan yang hakiki hanya ada pada Dia Yang Maha Esa. Di bumi ini tiada orang yang sempurna. Masing-masing ada kelemahan dan kekurangan. Objektif untuk berkahwin juga harus dititiberatkan. Berkahwin bukan kerana harta atau wajah yang cantik mahupun kacak tetapi kerana Allah s.w.t. Apabila tujuan kerana Allah s.w.t, barulah Cinta yang hakiki mekar di dalam perhubungan yang akan di bina.

4/ Maruah.

    Kesucian dan kepercayaan jangan dimusnahkan. Keduanya saling beriringan kerana "Ukuran yang paling tinggi adalah adab seseorang itu."

"Jagalah dirimu baik-baik, usahakanlah kemuliaanya, kerana engkau di pandang manusia bukan kerana rupa tetapi kesempurnaan budi dan adab."

Jangan sampai, kerana onar diri, keluarga terkena duri. Mata orang memang dapat dikaburi tetapi mulut orang tidak dapat dikunci. Apabila sudah bertunang ia bermakna si dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab bakal si suami dan bakal si isteri.

Maruah keluarga keduanya perlu dijaga. Sekiranya sebelum berkahwin sudah membina lubang, apabila sudah berkahwin tidak mustahil ia akan terjatuh.

5/ Doa.

"Memohon doa kepada Tuhan adalah laksana samudera yang dapat mencapai setiap sudut pantai keperluan hidup manusia."


    Doa adalah senjata orang Mu'min. Pengharapan dan pergantugan kepada Allah s.w.t perlu lah kuat. Tanpa Dia, kita tidak akan bisa untuk berdiri untuk meneruskan kehidupan. Doalah moga jalan yang dipilih diberkati lagi dirahmati. Mudahan-mudahan segala urusan menjadi mudah hingga ke akhirnya. InsyaAllah.

Perkara yang perlu dielakkan sebelum/selepas bertunang:

1/ Kurangkan bermesej atau berhubung di laman sosial.
  
    Sebenarnya, tidak perlu pun hendak bermesej dengan si dia. Ia hanya menambahkan ruang untuk syaitan beroperasi. Bila makhluq ini sudah masuk campur mula lah timbul syak wasangka. Selepas itu, keputusan yang mulanya dirancang mula lah kabur.

Jika alasan yang diberi hendak menjaga hubungan agar tidak hambar, boleh sahaja kita bermesej dengan ibu atau ayahnya. Ini lebih baik untuk permulaan membina hubungan dan kemanisan dalam keluarga baru kelak. Tidak begitu?

Dalam perhubungan ini, yang kita inginkan adalah keredhaan Allah s.w.t. Jika kita sering berhubung, kita hanya membina kemurkaan Allah s.w.t. Kemanisan selepas nikah juga akan menjadi semakin tawar. Ya! Tidak dinafikan ada segelintir pasangan yang manis sahaja sebelum dan selepas nikah tetapi kemanisan itu tidak sama dengan kemanisan Cinta Suci yang Allah janjikan untuk hambanya yang taat kepada-Nya dan malu untuk melakukan perkara yang tidak diingininya. Hubungan yang dibina atas dasar Cinta-Nya, InsyaAllah akan lebih diberkati lagi diredhai.

Bermesej lah untuk perkara yang penting sahaja. Moga-moga keredhaan Allah s.w.t lah yang kita cari.


2/  Tidak keluar berduaan.

    Maksud di sini, janganlah ber 'Dating'. Walaupun sudah bertunang. Ianya tidak menghalalkan cara. Jagalah batas-batas pergaulan, perbuatan dan percakapan.

- Bertemu bila perlu dan atas urusan yang mustahak juga ditemani mahram.
- Bercakap tanpa syahwat. Nada perlu dijaga. Tidak usah dilunakkan suaranya.

Tanamlah sifat malu dalam diri agar lebih berhati-hati dalam segala perkara. Malu lah kerana Allah s.w.t kerana ia lebih mulia dan kebih tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t.


Wallahu ta'ala a'lam.

TADABBUR RINGKAS SURAH YAASIIN

Ustaz Kamaru Salam Yusof Perkongsian bersama AMG   Muqaddimah 1 Ucapan Salam merupakan ucapan yang dijadikan oleh Allah swt sebagai ...